15 Pulau di Sabah Sebagai Destinasi Pelancongan

1. Pulau Gaya

Pulau Gaya merupakan pulau terbesar di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Namanya berasal daripada bahasa Bajau iaitu 'Gayo' yang bermaksud besar. Terletak hanya 10 minit daripada Bandaraya Kota Kinabalu, pulau ini merupakan pulau berhutan dimana hutan tersebut telah dijadikan hutam simpanan sejak 1923. Selain itu, separuh daripada pulau ini dilindungi daripada beberapa aktiviti haram seperti aktiviti nelayan, pembalakan haram, carigali petroleum, dan pelbagai aktiviti lain yang boleh membawa kepada pencemaran.

Di Pulau Gaya juga terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di pulau ini seperti laluan mendaki sejauh 20km, aktiviti menyelam dan juga dua resort lima bintang iaitu Gayana Eco Resort dan Bunga Raya Island Resort. Penduduk Bandaraya Kota Kinabalu bebas datang ke pantai-pantai di Pulau Gaya untuk berkelah dan melakukan aktiviti kekeluargaan. Di bahagian timur pulau tersebut terdapat beberapa perkampungan yang didiami kaum Bajau Ubian dan Bangsa Moro yang merupakan pelarian daripada selatan Filipina. Pengunjung yang datang ke Pulau Gaya digalakkan untuk tidak melawat perkampungan ini kerana faktor keselamatan.

2. Pulau Manukan

Pulau Manukan merupakan pulau kedua yang terbesar di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Pulau ini merupakan pulau yang paling terkenal di kalangan penduduk Bandaraya Kota Kinabalu. Saya pun dah pernah pergi pulau ni sebanyak tiga kali. Aktiviti air yang sering dilakukan oleh pengunjung apabila melawat pulau ini ialah snorkeling, diving, sea walkingflying fish dan banana boat. Pantai yang cantik dan dipenuhi pelbagai spesis ikan sesuai untuk aktiviti snorkeling. Di luar pesisir Pulau Manukan pula terdapat terumbu karang yang sesuai untuk aktiviti menyelam dan sea walking. Pulau ini merupakan pulau yang mempunyai kemudahan pelancongan yang paling maju berbanding 4 pulau yang lain yang terdapat dalam taman marin. Kemudahan pelancongan termasuk lah 20 unit chalet, rumah kelab, dan beberapa restoran. Kemudahan-kemudahan lain seperti kemudahan rekreasi dan kemudahan infrastruktur juga disediakan untuk keselesaan pengunjung.

3. Pulau Mamutik


Pulau Mamutik merupakan pulau terkecil yang terdapat di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ia nya terletak lebih kurang 3km dari Bandaraya Kota Kinabalu dan perjalanan dari Jeti Jesselton Point mengambil masa dalam 10 minit. Walaupun Pulau Mamutik merupakan pulau terkecil, ianya masih menjadi pilihan penduduk Bandaraya Kota Kinabalu dan dikunjungi pelancong kerana keindahan pantainya serta terumbu kerang yang terpelihara. Saya pun dah pernah datang ke Pulau Mamutik. Yang menariknya, ikan-ikan di pulau ini lebih banyak dan cantik berbanding Pulau Manukan. Pantainya yang kecil memberi jaminan keselamatan yang lebih baik kerana petugas-petugas keselamatan hanya perlu menjaga kawasan yang kecil.

4. Pulau Sapi

Pulau Sapi merupakan pulau kedua yang terkecil di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Terletak di arah barat daya Pulau Gaya, pulau ini mempunyai keluasan 25 ekar dan memiliki pantai yang terbaik dalam taman marin ini. Pulau ini terkenal dengan aktiviti snorkeling dan juga aktiviti menyelam. Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti jeti, perlindungan berkelah, tempat memanggang, meja, bilik persalinan, dan juga bilik air. Istimewanya, hutan di pulau ini didiami oleh Macaques, sejenis spesis Old World monkeys. Aktiviti berkhemah dan memasang unggun api boleh dilakukan dengan kebenaran daripada warden pulau.

5. Pulau Sulug

Pulau Sulug merupakan salah satu pulau di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Ianya merupakan pulau yang terjauh dari Bandaraya Kota Kinabalu. Pulau ini kurang dikunjungi tetapi terkenal sebagai lokasi menyelam yang baik. Panaroma bawah airnya sangat mempersonakan dimana ianya dipenuhi dengan kehadiran ular laut, penyu, ikan pari, ikan katak, dan juga kupu-kupu laut. Terumbu kerang yang tumbuh di kawasan pantai Pulau Sulug menjadikan pulau ini sesuai untuk aktiviti snorkeling. Perjalanan ke pulau ini biasanya mengambil masa dalam 15 minit ke 25 minit.

6. Pulau Selingan

Pulau Selingan merupakan satu daripada tiga pulau yang terdapat dalam Taman Pulau Penyu. Taman Pulau Penyu terletak di dalam Kepulauan Penyu. Terdapat 10 pulau terletak di dalam Kepulauan Penyu dimana 7 pulau dimiliki negara Filipina dan 3 pulau lagi diminiliki negara Malaysia. Selain Pulau Selingan, terdapat dua lagi pulau di dalam Taman Pulau Penyu iaitu Pulau Bakkungan Kechil dan Pulau Gulisan. Pulau Selingan merupakan pulau yang terkenal di antara tia pulau di dalam Taman Pulau Penyu. Terletak lebih kurang 40km arah utara Bandar Sandakan, pulau ini dilengkapi pelbagai kemudahan yang disediakan khas untuk pengunjung. Bilangan pengunjung yang datang ke pulau ini adalah dikawal dan pengunjung yang tinggal semalaman di pulau ini tidak dibenarkan turun ke pantai pada waktu malam. Ini kerana pada waktu tersebut penyu laut akan naik ke pantai dan bertelur.

7. Pulau Lankayan

Pulau Lankayan merupakan sebuah pulau resort batu karang tropika yang terletak di Laut Sulu, jarak kira-kira 15km arah barat daya dari Bandar Sandakan. Pulau ini terkenal sebagai pusat menyelam dan resort peranginan yang dikendalikan oleh Lankayan Island Dive Resort. Menariknya, terdapat pelbagai flora dan fauna di pulau ini yang sering menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung. Selain keindahan terumbu kerang yang ada di pulau ini, terdapat sebuah kapal karam cekung yang didiami pelbagai jenis hidupan laut. Pulau ini juga menjadi pilihan peminat aktiviti menyelam kerana kehadiran ikan Yu Paus, Penyu hijau dan Penyu Hawksbill, dan juga hidupan fauna yang lain seperti kerang gergasi, ketam labah-labah, kuda laut, ikan kakak tua, ikan pari dan ikan gitar.

8. Pulau Sipadan

Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau di Malaysia yang tidak menetap di atas pentas benua yang dikatakan sebagai pulau samudera. Menariknya, pulau ini terbentuk daripada batu kapur dengan ketinggian 600 meter dari dasar laut. Pulau Sipadan amat terkenal sebagai salah satu lokasi untuk menyelam yang terbaik di seluruh dunia.

Berikut merupakan petikan daripada Wikipedia.

"Alam bawah laut Sipadan menawarkan kepada para penyelam pemandangan yang penuh dengan kehidupan marin seperti Barracuda, penyu, ikan, dan sebagainya. Warna-warna yang banyak dan bertukar ganti, birai, celah, batu rungkupan, gua besar dan cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati tempat selam yang menyeronokkan di dunia. Pulau ini telah diwujudkan sebagai tempat perlindungan hidupan liar pada tahun 1933 dan persekitarannya yang asal telah dapat dikekalkan sehingga kini. Di sekitar Pulau Sipadan mempunyai beberapa kawasan popular untuk penyelam "Hot spot center to scuba divers" misalnya Barracuda Point, Turtle Cavern (Gua Penyu), Coral Gardens Drop Off (terletak berhampiran jeti utama Pulau Sipadan), North Point, West Ridge, Taman-taman Tergantung (Hanging Gardens), Lobster Lair, Staghorn Crest, South Point, Turtle Patch, Batu Karang Tengah (Mid Reef), Whitetip Avenue dan Coral Gardens."

9. Pulau Kapalai

Pulau Kapalai merupakan sebuah pulau di dalam bentuk tindanan pasir yang terletak 15km dari Pulau Sipadan. Pulau ini juga dikenali sebagai Pulau Resort Selam Skuba kerana aktiviti menyelam di pulau ini lebih kepada selam skuba. Dahulunya, sejak 200 tahun yang lalu, pulau ini merupakan pulau yang terindah kerana kecantikan pasir pantainya yang putih bersih. Akibat  hakisan terhadap pasir pantai oleh ombak dan peningkatan aras laut, aras ketinggian pulau ini semakin merosot, Akibatnya, pulau ini kini merupakan pulau yang mana perkampungan dan kemudahan yang lain dibina dengan hanya mempunyai tiang pasak dibawah air sahaja.

10. Pulau Layang-Layang

Pulau Layang-Layang (dalam bahasa Inggeris: Swallow Reef) atau juga dikenali sebagai Terumbu Layang-Layang merupakan salah satu pulau daripada gugusan Pulau Spratly. Terdapat beberapa negara telah cuba untuk menuntut pulau ini kepunyaan mereka seperti Filipina, China, Taiwan dan Vietnam. Pulau ini terletak sejauh 300km arah barat laut Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Sebuah resort selam telah ditubuhkan di pulau ini dan telah menerima lebih dari 1000 orang walaupun terletak jauh di tengah Laut China Selatan. Istimewanya pulau ini kerana berbentuk bujur dengan permandangan dasar laut yang mengagumkan, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, dan haiwan laut dalam. Pada bulan November sehingga Januari, pulau ini ditutup untuk dikunjungi pelancong kerana musim hujan atau musim tengkujuh yang melanda pulau ini. 

11. Pulau Mabul

Pulau Mabul merupakan salah satu tarikan pelancong untuk datang ke Sabah dan pulau ini terletak berhampiran dengan Pulau Sipadan. Pulau ini dikatakan sebagai sebuah lokasi yang terbaik untuk penggambaran bawah laut. Aktiviti utama di pulau ini ialah menyelam di mana pelbagai spesis fauna boleh ditemui seperti kuda laut, tapak sulaiman eksotik, ikan Gobi Fire, ikan Buaya, ikan Pipe, dan belut laut. Terdapat tiga buah resort di pulau ini dimana setiap resort menyediakan kemudahan pelancongan seperti penginapan dan pengangkutan.

12. Pulau Mantanani


Pulau Mantanani terdiri daripada tiga buah pulau kecil yang dipanggil Pulau Mantanani Besar, Pulau Mantanani Kecil dan Pulau Lungisan. Pulau ini terletak di arah barat laut Daerah Kota Belud dan boleh dikunjungi menggunakan bot dari Jeti Kuala Abai yang mana perjalanan selalunya mengambil masa dalam 45 minit. Pulau ini terkenal dengan aktiviti air seperti snorkeling dan menyelam. Ikuti pengalaman hazwanali.blogspot.com

13. Pulau Mataking


Pulau Mataking merupakan sebuah pulau yang terletak di bahagian timur Sabar iaitu di perairan Daerah Tawau. Pulau Mataking juga salah satu pulau yang terletak berhampiran dengan Pulau Sipadan dan terletak arah utara Pulau Mabul. Selain bentuk pulau yang menakjubkan (lihat dalam gambar diatas), pulau ini mempunyai permandangan yang cantik, air laut yang jernih serta pasirnya putih. Pulau ini merupakan salah satu pulau yang terbaik di Lautan Celebes selain Pulau Sipadan dan Pulau Mabul. Terdapat sebuah resort di pulau ini yang menyediakan pelbagai pakej pelancongan kepada pengunjung yang ingin menetap beberapa hari di pulau ini.

14. Pulau Tiga

Pulau Tiga, atau lebih glamour dengan nama "Survivor Island", merupakan pulau yang terletak berhampiran daerah Kuala Penyu. Pulau ini terkenal dengan nama Survivor Island kerana digunakan sebagai tempat pergambaran siri television "Survivor" dari Amaerika. Pulau ini terbentuk pada tahun 1897 apabila sebuah gempa bumi telah berlaku di Mindanao, Selatan Filipina dan menyebabakan letusan gunung berapi di Pulau Borneo. Pulau ini dihadiri pelbagai spesis ular laut kerana kesesuaian nya sebagai habitat ular laut. Pulau ini juga mempunyai lopak-lopak lumpur gunung berapi yang mana lumpurnya amat baik untuk kulit manusia. Kebanyakan pelancong yang melawat pulau ini pasti tidak melepaskan peluang untuk mandi lumpur di lopak-lopak tersebut. Kemudahan pelancongan di pulau ini juga adalah baik dimana terdapat restoran, chalet dan tapak perkemahan.

15. Pulau Berhala

Pulau Berhala merupakan pulau yang terletak di teluk Bandar Sandakan, bandar yang terletak di bahagian timur Sabah. Ianya merupakan pulau berhutan dengan keluasan lima hektar dan mempunyai keunikan tebing besar. Pulau ini mempunyai keistimewaan berbanding pulau-pulau di Sabah yang lain kerana kehadiran pelbagai spesis burung pemangsa seperti brahminy kitesserpents eagles, dan sea eagles. Di puncak tertinggi pulau tersebut terdapat rumah api sebagai panduan laluan kapal. Pulau ini masih lagi dalam proses dibangunkan sebagai destinasi pelancongan. Walaupun sedemikian, pulau ini boleh dikunjungi seperti pulau-pulau lain.

Comments