Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.
Laluan Kanopi di Poring, Ranau, Sabah, Malaysia.
Pada masa dahulu, laluan kanopi dibina denga tujuan untuk memudahkan penyelidik membuat penyelidikan di bahagian atas pokok. Setelah banyak masa berlalu dan semakin banyak teknologi seperti kren kanopi yang lebih selamat dan mudah untuk aktiviti penyelidikan, kebanyakan laluan kanopi mula dibiarkan dan ditinggalkan. Kini, laluan-laluan kanopi ini berfungsi sebagai eko-pelancongan yang menyumbang kepada pendapatan negara.
Walaupun laluan-laluan kanopi kini kurang digunakan oleh penyelidik, ianya semakin mendapat perhatian dari penduduk tempatan dan pelancong. Hal ini kerana melalui laluan kanopi merupakan satu pengalaman baru yang menyeronokkan malahan sebagai aktiviti pembelajaran kanak-kanak dan remaja. Di seluruh dunia, terdapat beberapa tempat yang menjadikan laluan kanopi sebagai destinasi pelacongan seperti di Selatan Afrika, Ghana, Amerika Syarikat, Australia dan termasuk Laluan Kanopi di Poring, Sabah, Malaysia.
Laluan Kanopi yang terletak di Santa Elena, Costa Rica.
Laluan Kanopi Poring atau nama bahasa Inggerisnya, Poring Canopy Walkway, merupakan salah satu tarikan pelancong dan penduduk tempatan untuk datang melawat ke Poring Hot Spring and Nature Reserve. Tergantung di atas pokok dengan ketinggian 41 meter (iaitu bersamaan dengan bangunan 8 tingkat), laluan kanopi ini berpanjangan sehingga 157.8 meter yang disambungkan oleh 3 platform atas pokok.
Laluan ini hanya boleh membawa 6 orang pada setiap masa.
Bagi mereka yang berminat meneroka pengalaman melalui laluan kanopi ini, bayaran yang dikenakan adalah RM3 untuk warganegara Malaysia dan RM5 untuk yang bukan warganegara Malaysia. Adalah diingat bahawa pembayaran perlu dibuat semasa membayar untuk tiket masuk ke dalam taman air panas ini. Selain itu, bagi mereka yang berminat untuk membawa kamera, terdapat caj sebanyak RM5 bagi setiap kamera.
Selepas membuat pemeriksaan tiket masuk, perjalanan dari kaunter tiket sehingga lah ke titik permulaan laluan kanopi adalah sejauh 550 meter. Walaupun jarak perjalanan ini hanyalah 550 meter, ianya memerlukan kekuatan mental dan fizikal kerana ianya umpama aktiviti mendaki. Selalunya, perjalanan ini akan mengambil masa sebanyak 30 minit. Walaupun agak jauh dan mencabar, terdapat permandangan indah dan kemudahan seperti pondok berehat ada disediakan di sepanjang perjalanan.
Laluan kanopi ini berketinggian 41 meter (lebih kurang ketinggian bangunan 8 tingkat).
Setelah tiba di titik permulaan laluan kanopi, terdapat pegawai bertugas yang akan bertugas memberi penerangan dan menjaga keselamatan pengunjung. Pengunjung akan diiringi oleh pegawai bertugas semasa melalui laluan kanopi ini bagi memantau keselamatan dan hanya 6 orang boleh melalui laluan kanopi ini pada setiap masa. Semasa berada di atas laluan tergantung ini, pengunjung biasanya berpeluang untuk melihat pelbagai spesis burung, haiwan dan fauna yang hanya tinggal di atas pokok.
Comments
Post a Comment