Poring Hot Spring and Nature Reserve Ranau

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

 Kolam air panas terbuka yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Poring merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di Ranau. Poring berasal daripada bahasa Kadazan-Dusun yang bermaksud nama sejenis spesis pohon bamboo di sini. Apa yang membuatkan Poring terkenal adalah disebabkan oleh Poring Hot Spring and Nature Reserve, sebuah kolam air panas yang mana air panas ini terhasil daripada saki-baki haba gunung berapi aktif beribu-ribu tahun yang lalu. Air panas ini dikatakan mengandungi sulfur yang mana mampu menyegarkan badan dan sendi-sendi yang lenguh. Taman air panas ini telah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

Lokasi ini terkenal bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan malahan menjadi lokasi pelancongan utama bagi pelancong asing yang datang melawat ke Sabah. Terletak 500 meter atas paras laut, lokasi ini yang berada di kaki Gunung Kinabalu didiami pelbagai spesis flora dan fauna termasuk bunga Rafllesia, spesis bunga yang diisytiharkan terbesar di seluruh dunia. Poring Hot Spring and Nature Reserve dikendalikan oleh dua syarikat iaitu Sutera Sanctuary Lodges and Lupa Masa Jungle Camp.

Lokasi


Poring Hot Spring and Nature Reserve terletak lebih kurang 123 KM dari Bandaraya Kota Kinabalu dengan jarak perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Dari Taman Negara Kinabalu pula, lokasi ini terletak lebih kurang 39 KM dengan jarak perjalanan dijangka mengambil masa lebih kurang sejam.

Waktu Beroperasi

Poring Hot Spring and Nature Reserve dibuka setiap hari bermula dari jam 7:00 pagi sehingga lah jam 6:00 petang. Walau bagaimanapun, waktu beroperasi yang ditetapkan bagi setiap aktiviti yang ada dalam taman ini berbeza. Untuk Jambatan Kanopi dan Taman Rama-Rama, aktiviti ini dibuka kepada pelawat bermula dari jam 9:00 pagi sehingga lah jam 4:00 petang. Taman Tropika pula dibuka seawal jam 8:00 pagi juga sehingga 4:00 petang.

Poring Hot Spring and Nature Reserve
Jam 7:00 am - Jam 6:00 pm

Jambatan Kanopi Poring
Jam 9:00 am - Jam 4:00 pm

Taman Rama-Rama
Jam 9:00 am - Jam 4:00 pm

Taman Tropika
Jam 8:00 am - Jam 4:00 pm

Tiket Masuk

Harga Tiket Masuk ke dalam kawasan Poring Hot Spring and Nature Reserve adalah berbeza mengikut kewarganegaraan dan umur. Bagi warganeagara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas, harga tiket masuk setiap seorang adalah RM3.00 manakala bagi yang berumur 18 tahun ke bawah pula harga tiket masuk adalah RM1.00 setiap seorang. Bagi pelancong asing berumur 18 tahun dan ke atas, harga tiket masuk adalah RM15.00 setiap seorang manakala bagi yang berumur 18 tahun ke bawah pula adalah RM10 setiap seorang. Perlu diingatkan bahawa ini hanya lah harga untuk tiket masuk ke dalam kawasan Poring Hot Spring and Nature Reserve.

Warganegara Malaysia
Dewasa               : RM3.00 seorang
Bawah 18 Tahun: RM1.00 seorang

Bukan Warganegara Malaysia
Dewasa               : RM15.00 seorang
Bawah 18 Tahun: RM 10.00 seorang

Aktiviti

Kolam Air Panas Poring

Kolam air panas terbuka yang menjadi lokasi beriadah untuk penduduk tempatan.

Kolam Air Panas Poring terdiri daripada empat jenis kolam yang disediakan sebagai kemudahan kepada pelawat iaitu kolam air panas terbuka, kolam air panas tertutup, Rock Pool, dan juga Slide Pool. Selain itu, terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti tandas dan baju persalinan, kedai menjual makanan, Gift Shop, dan juga sebuah restoran. Pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, kolam air panas ini akan dipenuhi dengan pelancong asing dan pnduduk tempatan yang datang untuk beriadah bersama keluarga.

Baca selanjutnya di SINI.

Laluan Kanopi Poring

Jambatan Kanopi yang tergantung tinggi di atas pokok.

Laluan Kanopi Poring atau nama bahasa Inggerisnya, Poring Canopy Walkway, merupakan salah satu tarikan pelancong dan penduduk tempatan untuk datang melawat ke Poring Hot Spring and Nature Reserve. Tergantung di atas pokok dengan ketinggian 41 meter (iaitu bersamaan dengan bangunan 8 tingkat), laluan kanopi ini berpanjangan sehingga 157.8 meter yang disambungkan oleh 3 platform atas pokok.

Baca selanjutnya di SINI.

Air Terjun Kipungit dan Air Terjun Laganan

Air Terjun Kipungit yang terletak tidak jauh dari Kolam Air Panas Poring.

Air Terjun Kipungit ini terletak 30 minit perjalanan dari Kolam Air Panas Poring dan bersaiz kecil berbanding Air Terjun Laganan yang lebih besar tetapi terletak lebih jauh ke dalam hutan dan mengambil masa 90 minit untuk sampai ke sana. Kebaikannya, air sungai atau air terjun terpelihara dari pencemaran air. Pelawat yang datang berkunjung juga perlu diingatkan supaya menjaga kebersihan sungai atau air terjun kita.

Baca selanjutnya di SINI. (Entri belum siap)

Tapak Habitat Bunga Rafflesia

Bunga Rafflesia, spesis bunga terbesar di seluruh dunia,

Bunga Rafflesia, bunga yang terbesar d seluruh dunia dengan diameter yang boleh mencecah 1 meter, menjadi salah satu tarikan pelancong untuk melawat ke lokasi ini. Bunga Rafflesia mengambil masa setahun untuk bertunas sebelum ianya mekar. Walau bagaimanapun, bunga ini hanya mekar selama seminggu sebelum ianya menjadi layu. Semasa mekar, bunga ini akan mengeluarkan bau busuk yang mana akan menarik perhatian serangga. Serangga-serangga tersebut akan hinggap di bunga-bunga ini lalu menyempurnakan proses pendebungaan apabila hinggap di bunga rafflesia yang lain.

Baca selanjutnya di mysabah.com

Taman Rama-Rama

Di sini juga terdapat sebuah taman rama-rama yang ditubuhkan bagi tujuan penyelidikan, pemuliharaan dan perlindungan bagi spesis rama-rama yang terancam. Taman rama-rama ini merupakan taman rama-rama yang pertama di Sabah dan juga seluruh Kepulauan Borneo.

Pusat Pemuliharaan Bunga Orkid Poring

Selain Taman Rama-Rama, sebuah taman Bunga Orkid juga turut ditubuhkan di sini bagi tujuan penyelidikan dna pemuliharaan. Menurut sumber, terdapat lebih kurang 1200 spesis Bunga Orkid di pusat pemuliharaan ini menjadikannya sebagai pusat pengumpulan spesis Bunga Orkid terbesar di Sabah.

Taman Tropika

Sebuah taman yang menempatkan pelbagai spesis pelanduk dan kancil serta pelbagai spesis burung ada dipamerkan.

Comments