9 Makanan Tradisional Kaum Kadazan-Dusun di Sabah



Salam semua pembaca blog saya. Untuk entri kali ini, saya nak share pula makanan-makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Makanan-makanan orang Kadazan-Dusun ni memang special sikit. Makanan mereka ni lebih sedikit kepada sayur-sayuran. Ini disebabkan kebanyakan suku kaum ini tinggal di kawasan pedalaman atau di tepi-tepi sungai pada masa dahulu. Di dalam senarai ini terdapat beberapa sahaja makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun. Selamat membaca dan mencuci mata.

Perhatian:
1. Penomboran tidak berdasarkan mana-mana kriteria.
2. Pemilik gambar diletakkan di bawah setiap gambar.
3. Sila lawati blog mereka untuk lebih banyak informasi.


1. Tuhau

Ini merupakan batang tumbuhan Tuhau.
Gambar daripada thedapurgas.blogspot.com

Tuhau yang boleh dihidangkan dan banyak dijual di pekan-pekan.
Gambar daripada mysabah.com

Tuhau merupakan salah satu makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun yang amat terkenal di Sabah. Nama makanan ini diambil daripada tumbuhan yang dipanggil Tuhau dengan nama saintifiknya, E. Coccinea kerana bahan utama dalam makanan ini adalah batang tumbuhan Tuhau. Tumbuhan Tuhau mempunyai bau yang sangat kuat seperti bau serangga dan tumbuhan ini hidup subur di kawasan hutan hujan terutamanya di Pulau Borneo. Makanan Tuhau sebenarnya merupakan makanan berupa jeruk yang enak dimakan bersama nasi dan lauk-pauk lain. Walau bagaimanapun, baunya yang seakan-akan serangga membuatkan ramai yang takut untuk mencuba makanan ini. Tetapi, ramai juga yang akan ketagih makan makanan ini selepas mencubanya beberapa kali.


2. Sup Manuk Lihing

Sup Manuk Lihing yang siap dimasak.
Gambar daripada ummuhatul.blogspot.com

Antara bahan-bahan Sup Manuk Lihing.
Gambar daripada peppers-love.blogspot.com

Sup Manuk Lihing, atau Sup Ayam Lihing di dalam Bahasa Melayu, merupakan salah satu makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Bahan-bahan dalam makanan ini termasuk daging ayam, minuman keras jenis Lihing, halia, garam dan serbuk perasa. Oleh kerana makanan ini mengandungi minuman keras, maka ianya haram dimakan oleh yang beragama Islam. Sup Manuk Lihing selalunya dimakan bersama nasi ataupun boleh dimakan begitu sahaja. Menurut kepercayaan kaum Kadazan-Dusun, makanan ini baik untuk wanita yang baru melahirkan anak. Makanan ini dihidangkan pada hari-hari istimewa seperti hari perkahwinan atau semasa sambutan Pesta Menuai yang diadakan di Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun.


3. Pinasakan

Gambar daripada ummuhatul.blogspot.com

Pinasakan Sada (ejaan lama: Pinaasakan) atau Pinarasakan merupakan makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun dan sangat terkenal di Sabah. Makanan ini merupakan sejenis makanan yang mengandungi ikan Basung yang telah ditumis dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah Bambangan, takob-akob, kunyit dan garam. Ianya juga sejenis makanan yang tahan lama dan boleh disimpan untuk beberapa hari.

Pinasakan enak dimakan bersama nasi yang masih panas atau bersama Ambuyat, sejenis makanan tradisional yang juga terkenal di Sabah. Di Sabah, makanan ini boleh didapati di restoran atau gerai makanan yang menyediakan makanan tradisional kaum bumiputera Sabah. Terdapat juga beberapa hotel terkemuka (seperti Hotel Le-Meridien, Kota Kinabalu) di Sabah yang mula menghidangkan Pinasakan untuk diperkenalkan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Sabah.

Untuk maklumat lebih lanjut, lihat bahagian:

4. Noonsom

Noonsom merupakan makanan tradisional Kadazan-Dusun yang dibuat dalam bentuk jeruk. Makanan ini boleh didapati di dalam beberapa jenis dan antara Noonsom yang terkenal ialah Noonsom Bambangan, Noonsom Sada dan Noonsom Tuhau.

Noonsom Bambangan

Gambar daripada blogsanasini.blogspot.com

Noonsom Bambangan merupakan sejenis Noonsom yang mana bahan utamanya adalah buah Bambangan. Buah Bambangan atau nama saintifiknya Mangifera Pajang , merupakan sejenis mangga hutan yang terbesar di dunia dan banyak didapati di Pulau Borneo terutamanya di Sabah. Buah Bambangan tersebut akan dipotong kepada saiz kecil dan dicampur dengan biji buah Bambangan yang telah diparut serta cuka sebelum disimpan di dalam bekas (atau tajau kecil). Ianya akan dibiarkan selama seminggu sebelum dihidangkan untuk dimakan. Ianya sedap dimakan begitu sahaja seperti buah-buahan yang lain atau dimakan bersama nasi sebagai lauk.

Noonsom Sada (Ikan)

Gambar daripada she1012012.blogspot.com

Noonsom Sada atau Noonsom Ikan merupakan sejenis Noonsom yang mengandungi ikan sebagai bahan utamanya. Ikan yang digunakan selalunya ikan air tawar dari sungai yang dibersihkan dahulu dan dicampur bersama isi buah Pangi, nasi dan garam. Bahan-bahan tersebut kemudiannya akan dimasukkan kepada bekas atau tajau kecil dan dibiarkan antara 10 ke 12 hari. Selepas tempoh tersebut, makanan ini boleh dihidangkan dan dimakan bersama nasi.

Noonsom Tuhau


Noonsom Tuhau merupakan sejenis makanan Noonsom yang mengandungi Tuhau sebagai bahan utamanya. Tuhau (atau nama saintifiknya, E. Coccinea) merupakan sejenis tumbuhan liar yang tumbuh subur di Kepulauan Borneo. Bahagian dalam pada batang Tuhau akan dibersihkan dan dihiris sebelum dicampur bersama cuka atau perahan jus limau, garam dan cili merah. Ianya akan dibiarkan selama beberapa minit sebelum boleh dimakan sebagai lauk.


5. Hinava (atau Hinata)


Hinava atau Hinata, atau juga dikenali sebagai Hinava Ginapan, merupakan makanan tradisional yang paling terkenal bagi kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Hinava merupakan nama makanan ini bagi suku kaum Kadazan manakala Hinata pula bagi kaum Dusun. Bahan utamanya adalah isi ikan (biasanya ikan Tenggiri dan ikan Yu) yang dicampurkan bersama bahan-bahan lain seperti biji buah Bambangan, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam. Isi ikan (juga boleh digantikan dengan makanan laut yang lain seperti sotong dan udang) tidak dimasak tetapi dibersihkan dan dicampur dengan cuka atau perahan jus limau.


6. Butod

Gambar daripada sabahanz.blogspot.com

Butod merupakan sejenis ulat yang boleh didapati di dalam batang pokok Rumbia yang sedang reput. Ianya juga dikenali sebagai ulat Sagu (Bahasa Melayu) dan ulat Mulung (di Sarawak). Ulat ini menjadi makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah dan sering dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti Pesta Menuai atau Pesta Makanan. Butod boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu supaya ranggup dimakan. Ulat ini dikatakan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan baik untuk kesihatan. Bagi yang beragama Islam, ianya haram dimakan kerana Butod merupakan salah satu spesis ulat.


7. Tutumakon

Gambar atas adalah Butod manakala bawah adalah Tutumakon.

Tutumakon merupakan sejenis cacing laut yang juga merupakan makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Dikenali sebagai makanan eksotik, Tutumakon selalu dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti sambutan Pesta Menuai atau semasa Food Festival yang sering diadakan di Sabah. Cara pemakanannya adalah dengan memakannya begitu sahaja. Status halalnya pula tidak dapat dipastikan kerana belum ada sebarang kenyataan yang berkaitan.


8. Bosou (atau Tonsom)


Bosou yang juga dikenali sebagai Tonsom merupakan sejenis makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun yang menyerupai jeruk atau perkasam. Bahan utamanya adalah ikan mentah atau daging yang dicampurkan dengan Buah Pangi. Pangi, atau nama saintifiknya Pangium Edule, adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh subur dan banyak didapati di Kepulauan Borneo. Bahan utama tersebut kemudiannya dicampur dengan nasi dan garam. Kadang-kala, bahan tambahan seperti nangka, nenas muda, atau Tuhau turut dicampur bersama sebagai perasa tambahan. Campuran ini akan dimasukkan ke dalam bekas dan dibiarkan antara 5 sehingga 7 hari sebelum dihidangkan. Ianya boleh dimakan bergitu sahaja atau dimakan bersama nasi yang masih panas dan lauk-pauk lain.


9. Nasi Linopot (Nasi Daun Tarap)

Gambar daripada jelly-etta.blogspot.com

Nasi Linopot atau Nasi Daun Tarap merupakan sejenis makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun yang menggunakan daun Tarap (juga dikenali sebagai daun Timadang) untuk membungkus nasi yang telah masak. Nasi tersebut kadang-kala telah dicampur dengan keladi, labu manis, ubi kayu atau keledak sebelum di bungkus dengan daun tersebut. Keistimewaan makanan ini ialah nasi yang telah dibungkus akan mempunyai haruman yang enak dan sedap dimakan. Ianya boleh dimakan bersama lauk-pauk seperti ikan dan sayur-sayuran.


Kaji sana, kaji sini, akhirnya siap juga entri ini. Ada kah lagi yang saya lupa masukkan dalam list? Kalau ada, komen seja di bawah. Bagi gambar sekali ahh (secara free! :P). Sama-sama kita awesome kan entri ini. Jom support local blogger. Bule bah kan? Thanks~

Comments