Kuih Tradisional Sabah | Amplang

Keropok Amplang merupakan sejenis kuih tradisional tempatan yang diperbuat daripada daging Ikan Tenggiri dan tepung ubi serta beberapa bahan-bahan lain. Ianya berbentuk bulat dan ranggup apabila dimakan. Kebiasaannya, Keropok Ampang dimakan umpama snek pada bila-bila masa dan dimana sahaja. Selain perisa ikan, keropok Amplang juga dihasilkan dengan perisa ketam dan rumpai laut.

Keropok Amplang yang sedap dan ranggup.

Keropok ini dihasilkan mengikut beberapa proses. Pertama sekali, ikan tenggiri akan direbus sebelum isinya diambil. Isi yang telah diambil akan digaul bersama telur dan minyak masak. Kemudian, tepung gandum, tepung ubi, garam dan gula akan dimasukkan ke dalam ramuan tadi. Bahan-bahan tersebut seterusnya akan diadun menjadi doh, dibentuk bulat dan kemudiannya digoreng sehingga masak dan ranggup.

Di Sabah, Keropok Amplang amat mudah didapati di beberapa bandar di bahagian Pantai Timur Sabah seperti Sandakan, Semporna dan juga Tawau. Atas permintaan yang tinggi, keropok ini juga telah dibawa ke beberapa bandar besar di bahagian Pantai Barat Sabah seperti Bandaraya Kota Kinabalu, Kota Belud dan juga Kudat.

Keropok Amplang dijual dalam bungkusan pada harga yang murah.

Pelancong yang datang dari Semenanjung Malaysia selalunya akan membeli kuih tradisional ini untuk di bawah ke kampung dan diagih-agihkan sebagai oleh-oleh atau hadiah selepas balik dari melancong. Bukan sahaja warga Malaysia, pelancong asing juga ramai yang membawanya pulang ke tanah air mereka.

Selain di Sabah, Kuih Amplang juga boleh didapati di beberapa tempat lain di Kepulauan Borneo terutamanya di bahagian Timur Kalimantan, Indonesia seperti Samarinda, Balikpapan, Banjar Masin, dan Pontianak. Kerana keenakannya, kuih ini terkenal dan telah dipasarkan ke bandar-bandar utama Indonesia dan juga Filipina.

Anda juga boleh mendapatkan maklumat berkenaan Keropok Amplang

Comments