Kolam Air Panas Poring

Laman ini adalah sebahagian daripada entri utama Poring Hot Spring and Nature Reserve.

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.


Kolam Air Panas Poring terdiri daripada empat jenis kolam yang disediakan iaitu kolam air panas terbuka, kolam air panas tertutup, kolam rekreasi dan Rock Pool. Selain itu, terdapat kemudahan-kemudahan lain yang disediakan seperti tandas dan bilik persalinan tanpa bayaran masuk, kedai menjual makanan ringan, Gift Shop, dan juga sebuah restoran.

Semasa musim cuti sekolah atau hujung minggu, destinasi ini selalunya dipenuhi dengan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat. Bagi penduduk tempatan, lokasi ini merupakan antara sepuluh destinasi pilihan untuk aktiviti beriadah. Bahkan, lokasi ini adalah destinasi pilihan pendaki-pendaki gunung Kinabalu yang baru sahaja menamatkan aktiviti mendaki mereka.

Kolam Air Panas Terbuka


Bagi memasuki kolam air panas terbuka ini, tidak ada sebarang bayaran dikenakan kerana ianya sepakej dengan bayaran tiket masuk. Kolam Air Panas Terbuka adalah salah satu daripada empat jenis kolam yang disediakan di sini. Seperti mana yang anda lihat pada gambar, kolam ini adalah kolam air panas yang terbuka dan bersaiz besar sesuai untuk pengunjung yang datang sekeluarga ataupun secara berkelompok.

Di sini, terdapat beberapa buah kolam kecil yang membolehkan pengunjung untuk berendam. Selain itu, terdapat juga kolam yang dikhaskan untuk merendam kaki sahaja. Air panas ini dikatakan mengandungi sulphur yang mana mampu merawat pelbagai penyakit termasuk menyegarkan sendi-sendi otot. Di kolam-kolam kecil ini, terdapat dua paip air yang mana menyalurkan air sungai yang sejuk dan yang satu lagi menyalurkan air panas dari mata air panas yang ada di sini. Dengan dua paip ini, pengunjung boleh menyelaraskan suhu air mengikut kesukaan masing-masing.


Kolam Air Panas Tertutup



Bagi kolam air panas jenis tertutup, terdapat caj perkhidmatan yang perlu dibayar dan pembayaran perlu dilakukan di kaunter masuk. Bagi yang jenis standard, bayaran yang dikenakan adalah RM15 setiap jam manakala yang jenis deluxe pula adalah RM20 setiap jam. Kolam ini berfungsi sama seperti kolam air panas terbuka, tetapi dengan beza kolam air panas ini tertutup dan sesuai untuk mereka yang inginkan privasi dan ketenangan.

Kolam Rekreasi


Untuk memasuki kolam rekreasi, terdapat bayaran tambahan yang perlu dibuat. Bagi seseorang yang dewasa, mereka akan dikenakan bayaran sebanyak RM3 setiap seorang tanpa mengambil kira kewarganegaraan. Bagi kanak-kanak pula, tiada bayaran yang dikenakan. Kolam ini terdiri daripada beberapa buah kolam yang mempunyai kedalaman yang berbeza. Menariknya, air di kolam ini adalah daripada air sungai yang mengalir dari atas gunung. Ianya bersih dan sejuk, berbeza dengan kolam rekreasi air yang ada di tempat lain yang diletakkan chlorine. Selain itu, kolam ini mempunyai gelongsor air yang selalu menjadi pilihan kanak-kanak untuk bermain.

Rock Pool



Rock Pool adalah sebuah kolam biasa yang mana tiada bayaran dikenakan kerana sepakej dengan bayaran tiket masuk. Terdapat dua kolam yang disediakan dengan kedalaman berbeza mengikut kanak-kanak dan dewasa. Air di Rock Pool ini adalah sangat sejuk. Bagi mereka yang baru sahaja berendam di kolam air panas tidak digalakkan untuk terus masuk ke dalam kolam ini kerana kejutan perbezaan suhu secara mendadak boleh menyebabkan pitam.

Comments