Makanan Tradisional di Sabah: Kinilau (atau Kilau)

Kinilau atau Kilau

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Ini lah yang dinamakan sebagai Kinilau atau Kilau.


Kinilau yang juga dikenali sebagai Kilau merupakan makanan tradisional bagi suku kaum Bajau dari Pantai Timur Sabah. Apabila menyebut Bajau Pantai Timur Sabah, suku kaum Bajau yang dimaksudkan adalah Bajau dari Lahad Datu, Sandakan, Semporna dan Tawau. Selain kaum Bajau, makanan ini juga terkenal di kalangan suku kaum Suluk di Sabah. Bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Kinilau dikenali sebagai Hinava.

Menariknya, makanan tradisional ini dihidangkan dalam bentuk daging ikan yang masih mentah  dan tidak dimasak tetapi selamat dimakan. Ikan mentah? Ya! Kinilau adalah makanan berupa ikan mentah yang dimakan begitu sahaja ala-ala Sushi dari Jepun. Walaupun demikian,  Kinilau ini selamat dimakan kerana daging ikan yang digunakan akan direndam bersama cuka yang akan membunuh microorganisma yang tidak baik untuk tubuh badan.

Melalui entri ini, saya akan share resepi penyediaan makanan Kinilau. Sebelum itu, anda perlu lah menyediakan bahan-bahan yang diperlukan. Kinilau adalah makanan yang tidak memerlukan kos yang tinggi kerana bahan-bahan nya adalah simple sahaja. Ini kerana pada masa dahulu, masyarakat Bajau di Pantai Timur Sabah melakukan aktiviti laut dengan aktif dan sebagai sumber pendapatan harian. Kekayaan hasil laut menjadikan masyarakat Bajau di pantai timur Sabah terkenal dengan pelbagai resepi masakan laut.

Bagi saudara dari Semenanjung Malaysia yang datang berkunjung ke Sabah, anda boleh lah mendapatkan makanan Kinilau ini di Bandaraya Kota Kinabalu ataupun di kawasan pantai timur Sabah seperti di Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan. Di Kota Kinabalu, antara lokasi yang menjual makanan Kinilau ini adalah di Pasar Malam Sinsuran yang terletak di belakang Pasar Kraftangan Kota Kinabalu.

Bahan-Bahan

Antara bahan-bahan Kinilau adalah isi ikan, mangga, limau nipis, tomato, cili merah, bawang merah, cuka, garam dan penambah rasa. Ikan yang boleh digunakan termasuk lah ikan Tongkol, Ikan Tenggiri dan Ikan Bilis. Sebaiknya ikan yang digunakan adalah masih fresh dan bukan yang telah dibekukan. Isi ikan tersebut serta mangga perlu lah dicincang nipis-nipis. Untuk tomato, cili merah dan bawang merah, bahan-bahan ini perlu lah dihiris dalam saiz nipis.

Bahan-Bahan Kinilau untuk 2 orang:
- 100 gram Isi ikan segar yang telah dicincang -
 - 2 biji mangga yang telah dicincang -
- 1 biji tomato yang dipotong nipis -
- 2 tangkai cili merah yang sudah dihiris -
- 3 biji bawang merah yang dihiris nipis -
- Garam dan penambah perisa secukupnya -
- 1 cawan  kecil cuka -

Cara Penyediaan

Cara penyediaan Kinilau adalah amat mudah dan tidak memerlukan kepakaran memasak yang complicated. Pertama sekali, isi masukkan ikan yang telah dicincang ke dalam bekas seperti mangkuk. Kemudian, rendam isi ikan tersebut bersama cuka dan sedikit garam sehingga lah isi ikan itu kelihatan masak atau keputihan.

Selepas itu, buang air cuka tadi dan basuh isi ikan tersebut dengan air bersih. Setelah dibersihkan dengan air bersih, perah isi ikan tersebut. Isi ikan yang telah dibersihkan dan diperah boleh lah dimasukkan ke dalam bekas yang bersih dan campurkan dengan mangga, tomato, cili dan bawang merah. Langkah terakhir, masukkan jus limau nipis, garam dan penambah rasa secukupnya. Selepas itu boleh lah dihidangkan.

Cara Pemakanan



Kinilau sedap dimakan bersama nasi yang masih panas serta lauk-pauk yang lain. Majoriti yang suka makan Kinilau lebih suka memakannya bersama ikan bakar dan latok. Campuran mangga yang ada dalam Kinilau berfungsi sebagai pembuka selera. Kadang-kala, ada yang memakan Kinilau dengan meletakkan lada sebagai penambah perisa.

Comments