Tanjung Simpang Mengayau

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.

Permandangan Tanjung Simpang Mengayau yang digambar dari helikopter.

Tanjung Simpang Mengayau atau Tanjung Simpang Magazou yang juga lebih dikenali sebagai "The Tip of Borneo" merupakan sebuah destinasi pelancongan yang terletak di tanduk Pulau Borneo. Tanduk Pulau Borneo? Ya! Melihat pada peta di bawah, lokasi ini terletak di kawasan paling utara Kepulauan Borneo, iaitu terletak di Daerah Kudat, Sabah. Nama Tanjung Simpang Magazou berasal daripada bahasa penduduk tempatan Rungus di sini yang bermaksud lokasi pertempuran antara masyarakat Rungus dengan serangan daripada lanun.


Untuk pengetahuan semua, Pulau Borneo merupakan pulau ketiga yang terbesar di seluruh dunia selepas Greenland dan New Guinea. Pulau Borneo dikongsi oleh tiga buah negara iaitu negeri Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan dari Malaysia, Kalimantan dari Indonesia dan juga negara Brunei Darussalam. Sekitar pantai barat Pulau Borneo adalah kaya dengan hasil petroleum iaitu dari kawasan laut negara Brunei Darussalam sehingga lah ke Pulau Layang-Layang (atau Swallow Reef) yang terletak di Kepulauan Spratly.

Taman yang dibina sebagai mengindahkan dan mencantikkan lagi lokasi ini.

Tanjung Simpang Mengayau terkenal bukan sahaja disebabkan lokasinya, ia juga terkenal kerana di lokasi ini anda boleh melihat titik pertembungan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu. Sebagai tanda pertemuan dua laut ini, kerajaan telah membina sebuah taman berbentuk persegi, tiang bendera Malaysia dan juga sebuah glob gangsa yang besar. Keindahan di sini diserikan dengan pelbagai permadangan indah seperti matahari terbit, matahari terbenam, permandangan bulan dan bintang pada waktu malam, dan semasa fenomena pertembungan kedua-dua laut tersebut.

Glob gangsa besar yang mana menandakan lokasi ini sebagai
titik pertemuan antara Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Tiada bayaran dikenakan terhadap pengunjung! Menariknya, pengunjung yang ingin bersiar-siar ke sini tidak perlu membuat sebarang bayaran. Umpama sebuah pantai awam, pengunjung boleh datang ke sini tidak kira berapa kali dan bila-bila sahaja. Bercakap tentang public beach, terdapat sebuah pantai berhampiran yang sesuai untuk mandi-manda iaitu Pantai Kalampunian. Pada musim angin monson, ombak di pantai ini adalah tinggi dan sering menjadi destinasi pilihan surfer.

Ini lah lokasi yang benar-benar di hujung tanduk Pulau Borneo.

Apabila sampai ke sini, pengunjung boleh lah meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kenderaan yang disediakan dengan percuma. Selepas meletakkan kenderaan, pengunjung perlu berjalan beberapa ratus meter sebelum sampai ke lokasi taman berbentuk empat segi yang mana terletaknya glob gangsa besar.

Oleh kerana lokasi ini adalah destinasi pelancongan, maka telah disediakan beberapa kemudahan seperti Gift Shop, restoran dan tandas awam. Bagi mereka yang ingin berkhemah, telah disediakan sebuah kawasan khas untuk perkhemahan. Selain itu, pengunjung juga boleh menyewa bot untuk tujuan memancing dan bersiar-siar di kawasan ini. Yang pasti, lokasi ini amat sesuai sebagai aktiviti penggambaran dan bagi mereka yang datang ke sini, adalah digalakkan untuk membawa kamera beagi aktiviti bergambar.

Kemudahan Penginapan

BorneoTip Beach Lodge yang sering dihiasi
permandanganmatahari terbenam tiap kali waktu petang.

Sebagai sebuah lokasi pelancongan, terdapat beberapa kemudahan penginapan yang dibina bagi memenuhi permintaan pelancong yang ingin datang ke sini. Permandangan matahari terbit dan terbenam yang cantik di sini, bahkan permadangan bulan pada waktu malam, menjadikan lokasi ini antara destinasi pilihan pelancong yang ingin menikmati permandangan tersebut. Antara beberapa syarikat penginapan di sini ialah TSM Merrimas Villa, Simpang Mengayau Chalet, Tommy's Place dan BorneoTip Beach Lodge.

Comments